Ibu,
dari jauh nun di sana kelihatan kelibatmu menghampiri,
dengan wajah yang sarat kasih sayang penuh bersinar,
ukiran senyuman yang terbit dibibirmu membawa sejuta kebahagian bagiku,
langkahan kakimu yang begitu pasti dan tiada keraguan dalam menjaga kebajikanku,
biarpun hanya zahirmu dapat ku tenung tiada sebarang duka yang bersarang,
namun jauh di sudut hatimu ALLAH maha mengetahui segalanya,
perit maung yang dirimu lalui sepanjang hidup ini satupun tidakku ketahui,
hanya riang tawa dan belaian manja selalu dirimu lakarkan untuk diriku,
aku hanya menerima semuanya kerana ku amat menghargai dirimu setiap detik masa bersamamu,
Ibu,
mungkin diriku terlalu jauh untuk memahami setiap perasaan dihatimu,
segala yang ku lakukan tiada lain hanya untuk melihat kegembiraan terpancar diwajahmu,
setiap bait-bait kata ku atur rapi untuk tidak menghiris jiwa penyayangmu,
kuturuti apa yang termampu untuk keberikan dalam memori hayatmu,
diriku mungkin hanya mampu menuturkan lafaz doa yang memohon kebahagian untukmu,
kuakui,
tidak satupun pengorbananmu dapatku balas dengan sempurna,
diriku sentiasa mengharapkan agar dipanjangkan usiamu oleh ilahi,
kiranya aku akan menjaga dirimu sepanjang hayatku,
Ibu,
ketentuan takdir itu telah ditetapkan sebaik-baiknya oleh yang maha esa,
biarpun diri ini ingin sentiasa mendampingi dirimu,
suatu masa kelak akan terpisah jua antara kita,
kasih sayang kepada hambanya tiada tara,
dirimu pergi meninggalkanku bersama seribu satu kenangan,
akan ku pahatkan ianya kukuh di sanubari lara ini,
agar segala kerinduan yang mendatang mampu kutempuh dengan nada berlagu ria,
mengubati detik-detik manis suatu ketika dulu bersama dirimu,
Ibu,
kucupan sayang di dahiku kian hangat terasa,
terasa kasih sayangmu tiada siapa yang dapat memberikannya,
namun,
tika akhir hayatmu,
diriku terasa longlai untuk melihat tubuh yang dulunya selalu menyayangi diriku,
kini terbujur kaku dihadapanku,
airmata duka yang kian mengalir tika menatap wajahmu tidak dapat ku tahan,
mengapa bukan diriku yang menggantikan tempatmu,
mengapa dirimu terlalu awal pergi meninggalkanku,
kepada siapa inginku adukan kerinduan ini,
kepada siapa yang mampu ku luahkan rasa hati ini,
kerana hanya dirimu yang selalu mendampingiku,
Ibu,
diriku seolah-olah tiada tempat berteduh setelah pemergianmu,
rasa ini kian meronta ingin bersua denganmu,
biarpun seketika untuk meleraikan simpulan rindu dihati ini,
namun,
aku harus belajar untuk menerimanya,
kerana semua ini akan mampu mematangkan diriku,
biar tanpa hadir bayangmu menemani,
tapi kurasakan dirimu sentiasa bersamaku,
meneruskan sisa hidup ini,
walau apa pun jua kegembiraan yang akan kunjung tiba,
hanya satu rintihan kecil di hati ini,
kuingin sentiasa disisimu ibu,
akanku abadikan dirimu dalam setiap doaku,
dikau lah permaisuri hatiku ibu..
coretan hati dari anakmu yang amat merinduimu...
ibu.......

No comments:
Post a Comment