Monday, July 30, 2012

~Bertaubatlah kerana ALLAH SWT ~


Diriku,

tika tiupan roh yang telah dikurniakan olehnya,

menggunung harapan kedua ibu bapa kepadaku,

biarpun masih dikandung rahim insan kesayanganku,

tapi,

kata-kata yang kian diungkapkan dari telus bibirnya,

adalah doa yang mengharapkan diriku menjadi,

anaknya yang mampu menghargai setiap kurniaan ALLAH SWT,

yang terhampar luas di seluruh pelusuk alam ini,

dan ingatlah,

jangan sedikitpun diriku berpaling darinya,

kerana ketentuan untuk kita adalah telah dirancang rapi olehnya,

kenanglah,

setiap kekhilafan yang telah kita lakukan,

di bumi ALLAH SWT ini,

adalah perkara yang paling dimurkai olehnya,

bukan kerana didikan orang tua kita yang tiada berpaksi,

tetapi keegoan dan kelalaian diri kita,

yang hanyut dibawa kelekaan dunia semata-mata,

dan ingatlah,

hidup ini hanyalah sementara,

mungkin saat ini,

mungkin esok,

mungkin lusa,

dan bila-bila masa ia akan tiba,

ialah ajal yang tidak mengenal usia,

bermuhasabah lah kita semua,

bertaubatlah kerana ALLAH SWT,

dialah sebaik-baik pencipta dan pengampun hambanya.......

aminnn yaa rabbal 'alamin....

Saturday, July 14, 2012

~kasih ilahi~


mentari pagi muncul menerangi alam,

begitu sinarnya memberi cahaya benderang untuk semua,

memudahkan untuk melaksanakan tuntutan rutin,

untuk setiap insan,

jua buat diriku,

rentak alunan kicauan burung yang berlagu riang,

memahat ukiran kegembiraan yang terhampar di dada langit nan luas,

lalu menjemput diriku untuk turut bersama dengannya,


tatkala seisi alam fana bertasbih memuji KEESAANNYA,

diri ini terasa begitu kerdil dan tiada terdaya,

kurniaan yang begitu berharga buat diri ini,

mampu melihat keindahan alam ciptaannya,

pendengaran yang tajam ini mampu mendengar setiap bait-bait bayu yang tampak fatamorgana,

ayunan tangan dan langkahan kaki ini ku manfaatkan untuk amalkan setiap suruhan darinya,

kepetahan berbicara yang diberikan ku titipkan bisikan dakwah RASULLULLAH yang tercinta,

akal fikir yang tiada banding nilainya ku lontarkan untuk memuji setiap ketentuan qada' dan qadarnya,


kini,

harus diriku ketahui,

setiap kurniaannya perlu ada penghargaannya,

bukan hanya untuk menerima sedemikian rupa,

kerana kehadiran kita,

adalah untuk beribadah kepadanya,

memujinya setiap masa dengan zikir indah dalam ertinya,

tanda keagungan sang pencipta yang tiada lainnya,

kerana,

kasih ilahi,

tulus dan tiada bertepi............ 




Tuesday, July 10, 2012

~warda~


warda,
tatkala sendu menangis hiba,
dia hadir menghitung lara,
pabila alunan tiada menyapa,
dia menghibur rentak ria,

warda,
tiada kata semanis pujangga,
tiada terjangkau di mata tinta,
untuk mentafsir ukir senyumnya,
yang sarat kasih di dahan cinta,

warda,
bila merisik bisikan suaranya,
hati luluh berlagu rasa,
merayu ingin seiring bersua,
kerana dirinya begitu sempurna.

Saturday, June 9, 2012

~ Permaisuriku ~


Ya tuhanku,

diri ini terasa begitu bertuah sekali,

nikmat kurniaanmu tiada terhingga nilainya,

hembusan nafas yang tiada bernokhtah,

kerdipan mata yang celik pejamnya,

akal fikir yang waras aturannya,

hingga menemukan diri ini kepada si dia yang telah menyentuh sanubari ini,



Bayu,

aku ingin titipkan padamu,

sampaikanlah salam rindu dihati ini,

untuk dirinya yang berada jauh nun di sana,

tetapi begitu dekat bermesra di jiwa ini,



Dalam sapaan pertama kita berjumpa,

biar hanya kerdipan matamu mampu ku tenung,

namun,

gerak hati ini meronta ingin mengenalimu,

hingga senyuman yang terukir di bibirmu,

menguntum secangkir manisan di wajah ini,

sambutan salam yang dirimu terima,

membuatkan diri ini bertambah kasih padamu,



Masa yang kian berubah tikanya,

menjadikan kita semakin mesra,

hingga mengikat saat bahagia,

membina bahtera hidup bersama,

tiada ubahnya seperti adam dan hawa,


Kini diri ini semakin bahagia,

hadirnya dirimu mengisi kesepian yang lara,

melakar satu coretan yang amat bermakna,

untuk kita menempuh saat suka duka yang kunjung tiba,

dalam ulitan cinta kasih yang indah bak kilauan permata,



Aku berjanji pada diri ini,

akan sentiasa disisimu setiap saat dan ketika,

tiada siapa yang akan menyakiti hatimu,

walau hanya dengan kata-kata,

kerana diri ini,

akan sentiasa ingin melihat,

riang tawa,

layanan manja,

senyuman bahagia,

yang dirimu berikan untuk diri ini,


Kau permaisuri hatiku,

aku amat mengasihi dirimu,

biar tautan kasih ini,

berpanjangan,

dengan redha ilahi......










Thursday, June 7, 2012

~ Airmata KASIH ~


Dalam keheningan pagi,

aku terjaga awal dari biasa,

akal fikirku masih menyambut sapaan akhirnya,

selangkah kepergianmu,

seribu duka yang bertapak di hati ini,

apa pun jua yang telah kuberikan selama kita bersama,

ku jadikan ianyan titipan berharga dariku untuk dirimu,


Tapi,

mengapa lelaki ini yang perlu kau percaturkan,

mengapa hati ini yang perlu kau robekkan,

mengapa perasaan ini yang perlu kau lumatkan,

mengapa renungan mata ini yang kau lontarkan,

mengapakah balasan ini yang kau berikan,


Biarpun kecekalan yang ada dalam sanubari ini,

mampu mengharungi setiap ranjau duri yang mendatang,

mengikis setiap lukutan cabaran yang bertapak,


 Namun,

harus dirimu ketahui,

setiap ciptaannya punya hati dan perasaan,

senyum gembira, duka lara,

itu sinonim untuk kita sebagai hambanya,


Karma dunia akan bertandang bila masanya tiba,

sanggup kau perlakukan taruhan hati ini,

yang amat menyayangi dirimu tiada bertepi,

menghimpit hati kecil ini yang amat berharap kepada dirimu,


Lintasan masa silam kian menyelubungi diri ini,

tiada lagi lafaz sayang yang kudengar dari bibir manis mu,

tiada lagi jemari yang mampu memenuhi ruang antara jemari ini,

tiada lagi dakapan mesra suatu masa dulu yang akanku gapai di hari esok,

semuanya bagaikan hempasan ombak yang melanda,


Semuanya akan ku terima dengan riang lara,

tidak bermakna lagi cinta kasih antara kita,

tidak bermakna lagi pemberian tulus dari jiwa,

kerana semuanya,

telah kau punahkan tanpa memikirkan rasa derita ini, 

segala pengorbanan cinta ini kini kau lontarkan jauh dari sudut hati,

senyuman mesra di wajahmu mengundang sekelumit kehampaan di hati ini,

aku mengerti diri ini tidak sempurna untuk dirimu, 

terlalu banyak cacat cela yang ku zahirkan padamu,


Pasti suatu masa nanti,

aku akan mampu melupakan tautan kasih ini,

agar pedih hirisannya tiada lagi terasa,

biarku ulitkan rasa hiba ini,

bersama airmata kasih dari hati lara ini,

untuk yang bukan milik diriku lagi,

terima kasih atas semua kepahitan yang telah kau palitkan ini....




Saturday, June 2, 2012

~ sapaan bayu senja ~


Tuhanku,

terasa diri ini begitu bertuah,

hembusan nafas yang kian beralun pada tubuh ini,

membuktikan kasih sayangmu tiada galang ganti,

senantiasa berarak lembut bersama kunjungan bahagia, 

yang tidak jemu untuk mengetuk kamar hati ini,

lantas berbisik halus,

agar sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang telah kau berikan,


Tuhanku,

diri ini begitu kerdil untuk bermohon doa kepadamu,

terlalu sedikit kebajikan yang pernah ku lakukan di bumimu ini,

daku bersujud menyatakan kehambaan diri ini dihadapanmu,

dengan harapan yang tinggi menggunung,

memohon restu kiranya ibadah yang ku lakukan ini,

tiada hala tuju lain melainkan,

semata-mata untuk mendapatkan keredhaan disismu wahai TUHANKU,



Tuhanku,

daku akui,

dalam diri setiap insan,

telah kau selitkan perasaan TANGGUNGJAWAB,

yang begitu luas sebagai peluang untuk kesekian kalinya,

sebagai perisai pekerti yang kukuh,

dalam menabur setiap benih-benih kesyukuran,

yang terlalu berat diungkapkan dibibir kita sebagai hambanya,

sebaliknya keegoan beraja menjadi sempadan pemisah antara kita dengan SANG PENCIPTA,



Tuhanku, 

aku akan berusaha untuk memiliki sesuatu yang terbaik untuk diri ini,

segala ketentuan qada' dan qadarmu aku terima dengan tenang tiada nista,

kerna ku tahu,

setiap perkara di alam fana ini,

semuanya terletak dalam peliharaanmu,

aku bermunajat agar ketenangan yang dulunya hadir,

akan terus terpahat dihati setiap insan,

yang tulus dalam mencari keredhaanmu,

kerna aku begitu yakin,

sapaan bayu senja inilah,

yang mengajarku setiap erti kata kehidupan yang sebenarnya dalam hidup ini............................

~ Lambaian duka ~


Sayang,

embun pagi mula berkaca tika matahari bertandang,

igauan semalam mengukir senyuman rindu diwajahku,

kurenung lembut kerdipan matamu yang sarat kasih di tasik madu,

ku genggam erat ruang jari jemarimu,

terasa hangat menyuntik ke urat dukaku,

kucupan mesramu kubiarkan bersarang kukuh di pipi ini,

kerna ku pasti ianya detik yang begitu berharga dalam setiap hembusan nafasmu,


Sayang,

tautan kasih yang kita bina,

berputik mekar indah bersama rentak alunan kicauan si nuri,

yang seolah-olah mengerti eratnya kemesraan antara kita berdua,

rona-rona bunga yang melata di persada bumi kasih kita,

 harum mewangi bersama pelukan syahdu yang kau berikan,

aku biarkan diriku lemas seketika dalam simpulan kasihmu,

alangkah indahnya jika semua kemanisan ini,

dapat ku lafazkan di hari bahgia kita nanti,

disitulah akan terbukti segala rangkuman cinta suci antara kita,


Namun,

demi masa depan untuk cinta murni ini,

aku terpaksa lepaskan dirimu merantau pergi,

mencari suatu keabadian,

yang akan dikau hadirkan di hadapan waris empunya diri ini kelak,

sebagai tanda dirimu akan membawa diriku,

membina kota cinta yang sekian lama kukuh dihati kita,

kerana antara kita tiada siapa akan menjadi penghalangnya,



Sayang,

musim kian berubah menata usia,

aku merasakan diri ini terabai sepi tanpa sapaannya,

kiriman rindu kunantikan penuh teruja,

terlalu lama tiada nada kuterima darimu,

mungkin dirimu berkalung tinta dunia yang tak akan ada penghujungnya,

aku biarkan bayangannya indah berkalung permata,


Sayang,

apakah aku masih dalam igauan citra kita yang dulu,

tapi mengapa yang tersurat bukan lakaran bayanganku,

ku renung sedetik masa yang begitu lama,

tapi,

semuanya kenyataan yang benar belaka,

apa salah diriku,

bilakah aku mengguris perasaanmu,

tutur apakah yang telah kulafazkan padamu,

hingga dirimu berubah arah tanpa satu sapaan darimu,

undangan hari bahagia yang kau titipkan,

bukan untuk kita berdua,

tapi..................

bersama insan baru yang telah hadir mengetuk pintu hatimu,


Sayang,

aku buntu meraba duka dalam getir lara,

kemanakah langkah kakiku untukku hiburkan kedukaan ini,

aku hanya insan lemah yang tiada daya untuk merubah kata putusmu,

tapi,

percayalah sayang,

tiada seurat rasa di pintalan hati ini akan membenci dirimu,

takkanku biarkan insan lain hadir ke ruang hati ini,

hingga keakhir usiaku akan sentiasa dan tak akan pernah ku lontarkan,

memori cinta kita jauh di sudut sana,

akanku sematkan beradu di hati hiba ini,

aku terlalu merinduimu,

aku terlalu mengasihimu,

aku rindukan belain manja dan pelukan mesramu,

kenanglah daku dalam doamu,

aku relakan keretakan ini berlalu pergi,

izinkan diri ini membuat permintaan untuk yang terakhir kalinya,

tolehlah diriku di sini,

sambutlah lambaian duka dariku,

KU AMAT MENCINTAI DIRIMU SAYANGKU........

~ mohon CAHAYA ~


Cahaya, 

sinarmu kian malap,

hadirmu seolah-olah tiada bertandang,

menjadikan diri ini semakin alpa,

bersama coretan tinta derita yang kian beraja, 

daku terkurung dalam canda tawa rona dunia yang semakin tua,

semua yang kuinginkan pastiku akan merasa,

jiwa sengsara lara ku biar berlalu tanpa sua,

kerna aku percaya,

akulah penentu segalanya,


Cahaya,

kubiarkan dikau suram tanpa menyuluh suasana,

kurasakan tiada gunanya aku bergantung harap padamu,

rekayasa dunia nyata amat indah bersemi dijiwaku,

aku ke sana bersama keangkuhan yang bertapa,

aku ke sini bersama kemegahan yang bertakhta,

harta dunia kuidamkan telah ku miliki,

pangkat darjat kuinginkan mudah untukku mendakapnya,

kerna aku berkuasa menentukannya,


Cahaya, 

kini bayangmu telah lesap tiada bayangnya,

aku mula menerjah ke lembah hina penuh kenikmatan yang sementara,

senario dunia yang rencam membuatkan aku kian terlena,

bersama kemungkaran yang penuh noda menjajah minda,

rentak kejahatan yang membuak didada tanpa penghujungnya,

hingga maruah diri mula rabak umpama seecebis nota,

terlukanya hati rang tua tiada ku hirau sapaannya,

semuanya ku pintal tanpa tepukan mereka,

aku bebas melakukan semuanya, 

 kerana aku punya  setiap satunya,


Cahaya, 

suatu detik ketika,

aku merasa kepayahan mula bertandang tiba,

aku meraba-raba tanpa sinaran yang sempurna,

gelita yang menyelubungi seluruh lorong derita,

membuatkan aku tersungkur tiada berdaya,

tangan ku gapai tiada yang menyambutnya,

rintihan ku pinta tiada sahutan yang bergema,

hanya airmata duka melayani tautan sua, 

hanya laungan derita meronta tiada suara,

inilah cahaya yang dulunya tidak kusambut bersama sua,

kini telah berlalu tanpa tolehan untuk kedua kalinya,



Cahaya


aku mula hiba diulit siksa,

hatiku punah tika akal dijajah nafsu dusta,

keseronokan dunia mula kabur bertukar hambar warnanya,

aku merintih sepi mencari bahagia,

terus merangkak duka mencari simpati sang pencipta,

kerana kusedari,

aku terlalu kerdil untuk menandinginya,

hanya mampu menutur kata-kata nista,

tiada pernah mensyukuri atas nikmat yang ada,

aku memohon untuk kesekian kalinya,

kuigin kau kembali menyinari hidup ini,

YA TUHANKU ,

izinkan aku untuk menebus semuanya,

dengan harapan mampu memilikinya untuk ke akhir kalinya,

YA TUHANKU,
 
ku mohon CAHAYA.....