Saturday, August 30, 2014


Sahabat, Bila sebut sahaja tentang perkataan tersebut, secara majoritinya kita akan merujuk kepada seseorang yang selalu bersama dengan kita setiap masa, setiap hari malahan setiap tempat yang kita akan kunjungi. Dalam pada itu juga kita akan melafazkan kepada sesiapa yang bertanya akan makna perkataan tersebut, tidak akan lari daripada melibatkan seseorang yang kian hari bersama dalam kehidupan seharian kita. Namun demikian, pernahkah kita terfikir akan sekiranya dalam suatu masa kita hanya keseorangan tanpa ada sesiapa disisi kita malahan ahli keluarga kita pun ada masa tertentu sahaja akan dapat meluangkan masa bersama kita. Akankah situasi seperti ini akan terjadi dalam kehidupan kita. Sudah tentu kita akan merasakan sesuatu yang begitu tragis dalam jiwa kita sekiranya ia berlaku kepada kita. Tetapi, bagi kita yang memiliki semuanya, perkara tersebut begitu payah untuk kita terbitkan dalam kotak fikiran kita. Apa yang kita selalu zahirkan adalah, airmata yang kita alirkan ketika menonton lakon layar pelakon-pelakon tanah air dan luar Negara yang hanya berpandukan kepada skrip penceritaan yang telah disediakan. Samada plot ceritanya sedih yang akan membuat kita menangis, lucu yang akan mengukir senyuman diwajah kita, Cuma sedikit sebanyak yang membuatkan kita terfikir bagaimana sekiranya perkara tersebut adalah realiti dan bukan fantasi dalam diri dan kehidupan kita semua. Sama-sama kita renung dan muhasabah diri kita.
Situasi orang yang bersahabat adalah suatu hubungan yang telah terjalin hasil daripada terbitnya rasa ingin mengenali seseorang yang berada disekeliling kita. Samada rakan-rakan di sekolah, jiran tetangga, orang-orang kampung, rakan sekerja mahupun sesiapa sahaja yang kita inginkan  untuk menjadi teman kita berkongsi cerita, buah fikir ataupun pengalaman masing-masing. Namun demikian, bukan begitu mudah ianya akan terbentuk menjadi satu hubungan ukhuwwah yang mesra. Perkara tersebut perlu diselitkan dengan elemen-elemen yang akan menjadikan kita saling memiliki perasaan saling mengasihi, menghormati dan saling bersandarkan dengan matlamat untuk membentuk persahabatan kerana ingin mencari keredhaan daripada Allah SWT. Apabila kita ketengahkan perkara ini. Persoalan pertama akan ditimbulkan adalah berkaitan dengan seseorang yang mencari sahabat demi untuk kepentingan dirinya sendiri ataupun bahasa kasarnya ingin mengambil kesempatan atas kesenangan kenalannya semata-mata. Tetapi, pada pandangan orang yang memiliki tahap pemikiran yang berlandaskan pegangan syarak, perkara ini akan mampu ditepis dengan mudah dan akan menemui suatu ruang pembentukan ukhuwwah fillah yang akan dipermudahkan oleh Allah SWT dengan izinnya yang akan pastinya diselitkan dengan ujian yang akan dilalui oleh hambanya dengan tujuan bagi menilai tahap ketaqwaan dan keimanan hambanya.
Sejarah Kekasih ALLAH SWT, utusan untuk seluruh umat manusia turut melakarkan bagaimana baginda diiringi sahabat-sahabat yang sentiasa taat pada perintah ALLAH SWT, dan juga sentiasa patuh dalam arahan yang telah diputuskan oleh baginda dalam setiap majlis syura yang menjadi suatu medium untuk mencapai kata sepakat dalam membincangkan sesuatu perkara. Antara sahabat baginda yang sentiasa bersama baginda ialah saidina Abu Bakar As-Siddiq. Disamping sahabat-sahabat baginda lain yang sentiasa bersama dalam mengembangkan agama yang terulung untuk ummat sepanjang zaman iaitu agama islam. Dalam pada itu juga, dalam setiap geraklaku yang diatur rapi oleh baginda, sahabat-sahabat baginda akan sentiasa peka dalam setiap arahan tersebut bagi memastikan setiap objektif dalam perancangan yang telah disusun sebaiknya akan dapat dicapai. Perkara ini memperlihatkan kepada kita betapa besarnya pengertian sahabat ketika zaman baginda jika ingin dibandingkan dengan zaman yang kita lalui kini. Namun, terdapat sesetengah masyarakat menyatakan bahawa, kita tidak boleh membezakan zaman sahabat dengan zaman kita sekarang ini. Zaman para sahabat masyarakatnya memiliki semangat juang yang tinggi dalam sesebuah organisasi. Terbentuknya sebuah organisasi yang utuh adalah hasil daripada hubungan sahabat sesama mereka yang saling mempercayai sesama sendiri dan tiada pernah pilih berbelah bagi malahan sentiasa menghormati pendapat atau pendangan antara satu sama lain. Apabila kita mendengar penjelasan tersebut, adakah kita akan mengiyakannya atau kita akan menepisnya dengan kesungguhan bahawa semangat itu boleh dibentuk andai kita sesama insan sentiasa menjalankan setiap perintah ALLAH SWT dengan hati yang tulus dan ikhlas tanpa ada unsur ke arah bangga diri, sombong dan ‘ujub semata-mata. Perlu kita ingat bahawa setiap perlakuan kita dalam menjalinkan hubungan baik semasa bersahabat adalah suatu fitrah manusia untuk sentiasa mendampingi antara satu sama lain kerana semuanya adalah bersandar kepada mencapai keredhaan dan keberkatan dalam amalan kita disisi ALLAH SWT.