Sahabat, Bila
sebut sahaja tentang perkataan tersebut, secara majoritinya kita akan merujuk
kepada seseorang yang selalu bersama dengan kita setiap masa, setiap hari
malahan setiap tempat yang kita akan kunjungi. Dalam pada itu juga kita akan
melafazkan kepada sesiapa yang bertanya akan makna perkataan tersebut, tidak
akan lari daripada melibatkan seseorang yang kian hari bersama dalam kehidupan
seharian kita. Namun demikian, pernahkah kita terfikir akan sekiranya dalam
suatu masa kita hanya keseorangan tanpa ada sesiapa disisi kita malahan ahli
keluarga kita pun ada masa tertentu sahaja akan dapat meluangkan masa bersama
kita. Akankah situasi seperti ini akan terjadi dalam kehidupan kita. Sudah
tentu kita akan merasakan sesuatu yang begitu tragis dalam jiwa kita sekiranya
ia berlaku kepada kita. Tetapi, bagi kita yang memiliki semuanya, perkara
tersebut begitu payah untuk kita terbitkan dalam kotak fikiran kita. Apa yang
kita selalu zahirkan adalah, airmata yang kita alirkan ketika menonton lakon
layar pelakon-pelakon tanah air dan luar Negara yang hanya berpandukan kepada
skrip penceritaan yang telah disediakan. Samada plot ceritanya sedih yang akan
membuat kita menangis, lucu yang akan mengukir senyuman diwajah kita, Cuma
sedikit sebanyak yang membuatkan kita terfikir bagaimana sekiranya perkara
tersebut adalah realiti dan bukan fantasi dalam diri dan kehidupan kita semua.
Sama-sama kita renung dan muhasabah diri kita.
Situasi orang
yang bersahabat adalah suatu hubungan yang telah terjalin hasil daripada terbitnya
rasa ingin mengenali seseorang yang berada disekeliling kita. Samada
rakan-rakan di sekolah, jiran tetangga, orang-orang kampung, rakan sekerja
mahupun sesiapa sahaja yang kita inginkan
untuk menjadi teman kita berkongsi cerita, buah fikir ataupun pengalaman
masing-masing. Namun demikian, bukan begitu mudah ianya akan terbentuk menjadi
satu hubungan ukhuwwah yang mesra. Perkara tersebut perlu diselitkan dengan
elemen-elemen yang akan menjadikan kita saling memiliki perasaan saling
mengasihi, menghormati dan saling bersandarkan dengan matlamat untuk membentuk
persahabatan kerana ingin mencari keredhaan daripada Allah SWT. Apabila kita
ketengahkan perkara ini. Persoalan pertama akan ditimbulkan adalah berkaitan
dengan seseorang yang mencari sahabat demi untuk kepentingan dirinya sendiri
ataupun bahasa kasarnya ingin mengambil kesempatan atas kesenangan kenalannya
semata-mata. Tetapi, pada pandangan orang yang memiliki tahap pemikiran yang
berlandaskan pegangan syarak, perkara ini akan mampu ditepis dengan mudah dan
akan menemui suatu ruang pembentukan ukhuwwah fillah yang akan dipermudahkan
oleh Allah SWT dengan izinnya yang akan pastinya diselitkan dengan ujian yang
akan dilalui oleh hambanya dengan tujuan bagi menilai tahap ketaqwaan dan
keimanan hambanya.
Sejarah Kekasih
ALLAH SWT, utusan untuk seluruh umat manusia turut melakarkan bagaimana baginda
diiringi sahabat-sahabat yang sentiasa taat pada perintah ALLAH SWT, dan juga
sentiasa patuh dalam arahan yang telah diputuskan oleh baginda dalam setiap
majlis syura yang menjadi suatu medium untuk mencapai kata sepakat dalam
membincangkan sesuatu perkara. Antara sahabat baginda yang sentiasa bersama
baginda ialah saidina Abu Bakar As-Siddiq. Disamping sahabat-sahabat baginda
lain yang sentiasa bersama dalam mengembangkan agama yang terulung untuk ummat
sepanjang zaman iaitu agama islam. Dalam pada itu juga, dalam setiap geraklaku
yang diatur rapi oleh baginda, sahabat-sahabat baginda akan sentiasa peka dalam
setiap arahan tersebut bagi memastikan setiap objektif dalam perancangan yang
telah disusun sebaiknya akan dapat dicapai. Perkara ini memperlihatkan kepada
kita betapa besarnya pengertian sahabat ketika zaman baginda jika ingin
dibandingkan dengan zaman yang kita lalui kini. Namun, terdapat sesetengah
masyarakat menyatakan bahawa, kita tidak boleh membezakan zaman sahabat dengan
zaman kita sekarang ini. Zaman para sahabat masyarakatnya memiliki semangat
juang yang tinggi dalam sesebuah organisasi. Terbentuknya sebuah organisasi
yang utuh adalah hasil daripada hubungan sahabat sesama mereka yang saling
mempercayai sesama sendiri dan tiada pernah pilih berbelah bagi malahan
sentiasa menghormati pendapat atau pendangan antara satu sama lain. Apabila
kita mendengar penjelasan tersebut, adakah kita akan mengiyakannya atau kita
akan menepisnya dengan kesungguhan bahawa semangat itu boleh dibentuk andai
kita sesama insan sentiasa menjalankan setiap perintah ALLAH SWT dengan hati
yang tulus dan ikhlas tanpa ada unsur ke arah bangga diri, sombong dan ‘ujub
semata-mata. Perlu kita ingat bahawa setiap perlakuan kita dalam menjalinkan
hubungan baik semasa bersahabat adalah suatu fitrah manusia untuk sentiasa
mendampingi antara satu sama lain kerana semuanya adalah bersandar kepada
mencapai keredhaan dan keberkatan dalam amalan kita disisi ALLAH SWT.
.jpg)
